Lebih baik daripada zaman BN: Khairy

Lebih baik daripada zaman BN: Khairy

Lebih baik daripada zaman BN: Khairy

Ahli Parlimen BN, Khairy Jamaluddin akui peruntukan RM100,000 diberikan kerajaan Pakatan Harapan untuk wakil rakyat pembangkang lebih baik daripada yang diamalkan kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata sewaktu BN memerintah, tiada sebarang peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.
“Berkenaan peruntukan RM100,000 yang diberi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat BN, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri.

Walaupun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diberi kepada rakan-rakan daripada Harapan, pemberian ini lebih baik daripada apa yang diamalkan kami dahulu iaitu tiada apa-apa peruntukan diberi kepada wakil-wakil rakyat pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM500,000 kepada kerusi parlimen yang dimenangi Harapan dan RM100,000 kepada kawasan BN.

Dalam pada itu, Khairy berharap pada masa akan datang kerajaan akan mempertimbangkan jumlah yang sama untuk wakil rakyat BN dan Harapan.

Atas semangat Malaysia baharu, pengundi tidak sepatutnya dihukum atas pemilihan politik mereka semasa pilihan raya.

“Untuk memastikan tiada apa-apa ketirisan berlaku dalam pengagihan peruntukan tersebut, syarat-syarat ketat boleh diletakkan dan sistem pemantauan dan audit yang telus boleh dilaksana ke atas peruntukan yang diberi kepada semua ahli Dewan Rakyat.

“Saya berharap Perdana Menteri boleh mempertimbangkan perkara ini untuk kesejahteraan rakyat termasuk yang berada di kawasan yang diwakili oleh BN,” katanya.

Sumber: sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *